Semenjak berakhirnya perhimpunan yang diadakan di Stadium Merdeka Sabtu lepas, angka kehadiran terus menjadi pertikaian kedua-dua pihak. Pihak polis mengatakan angka kehadiran sekitar 40-45 ribu orang. Manakala pihak penganjur yang sudah tentu ingin menunjukkan kehebatan mereka dengan mengatakan jumlah kehadiran mencecah 100 ribu orang.
Umum mengetahui Stadium Merdeka yang bersaiz kecil hanya boleh memuatkan 30 ribu orang.
Penulis tidak mahu serabutkan kepala dengan bilangan kehadiran. Jadi penulis memilih untuk naikkan lagi jumlah kehadiran daripada apa yang dikatakan penganjur 100 ribu orang kepada 200 ribu orang.
Untuk rekod sehingga 30 September 2010 jumlah pengundi yang ada di Malaysia adalah 11,579,175.
Persoalannya di sini adakah dengan kehadiran 200 ribu orang atau 1.8 peratus daripada keseluruhan pengundi yang ada di Malaysia, layakkah ianya digelar himpunan kebangkitan rakyat untuk menolak BN ?
Adakah dengan kehadiran yang tidak sampai 2 peratus dengan jumlah pengundi yang ada di Malaysia cukup untuk memberi gambaran rakyat menolak kerajaan hari ini ?
Bagi penulis jika dari lebuh raya Sungai Besi dari Sri Petaling, lebuhraya persekutuan dari Klang, lebuh raya Duke dari Gombak dan lebuh raya NKVE dari Sungai Buloh semuanya penuh dengan lautan manusia di atas jalan hingga ke Stadium Merdeka, itu barulah tepat dikatakan rakyat Malaysia menolak kerajaan yang ada hari ini.
Jika setakat mengumpul penyokong tegar sendiri kemudian mengumumkan rakyat Malaysia bangkit menentang kerajaan yang ada, itu tidak lebih dari syok sendiri.
Mana 1 juta orang yang dijanjikan oleh penganjur ?
Mana 300 ribu orang yang dijanjikan PR Selangor ?
Untuk pengetahuan pembaca, pada peringkat awal perancangan penganjur untuk perhimpunan tersebut mereka bercadang untuk mengadakannya di Stadium Bukit Jalil yang kapasiti tempat duduknya 100 ribu orang. Setelah yakin mereka gagal memenuhkan stadium tersebut lalu mereka memindahkan ke Stadium Merdeka yang jauh lebih kecil.
Ibarat seekor dugong di dalam kolam. Si dugong akan nampak besar dan gah di dalam kolam yang kecil. Namun apabila masuk ke laut tiada lagi besar dan gahnya si dugong itu.
Samalah seperti penganjur perhimpunan itu. Mereka akan nampak gah jika Stadium Merdeka dipenuhi 30ribu orang. Namun jika 30 ribu orang tersebut dipindahkan ke Bukit Jalil ia sekadar mengisi 1/3 dari tempat duduk yang ada.
Atas sebab itulah mereka membatalkan rancangan untuk adakan perhimpunan di Bukit Jalil dan bermati-matian menolak tawaran polis untuk pindahkan ke sana.
Mat Sabu dan beberapa rakan-rakannya sebelum ini masih mempercayai teori himpunan besar-besaran akan membawa keuntungan kepada mereka dalam pilihanraya. Mereka berpegang kepada perhimpunan bersih 1 tahun 2007. Mereka percaya bahawa perhimpunan itulah yang membuatkan BN hilang 2/3 di Dewan Rakyat dan hilang beberapa negeri.
Atas sebab itulah mereka bersungguh-sungguh mahu mengadakan perhimpunan sebelum pilihanraya mengambil tempat dalam masa terdekat. Kerana mereka percaya dengan perhimpunan itu BN akan tumbang.
Mereka lupa bukan himpunan bersih 1 yang membantu mereka menang selesa. Yang sebenarnya keputusan PRU 12 banyak dibantu oleh orang-orang BN yang ketika itu tidak berpuashati dengan pentadbiran yang ada walaupun mereka memberi sokongan padu pada PRU 11.
Keadaan tahun 2008 berbeza dengan keadaan yang ada pada hari ini. Walau pun Najib pada hari ini menjadi PM bukan melalui mandat yang diberikan rakyat secara langsung kepadanya namun beliau masih boleh bertahan sehingga empat tahun. Bukankah ini satu pencapaian yang luar biasa ?
Pencapaian yang luar biasa itu tidak akan dicapai tanpa sokongan rakyat. Jika rakyat tidak sukakan Najib tiga tahun lepas lagi mereka telah bangkit di segenap pelusuk tanah air untuk mendesaknya berundur. Jika rakyat tidak sukakan Najib tidak akan satu kerusi pun yang akan dimenangi BN dalam berbelas pilihanraya kecil yang diadakan dibawah pentadbirannya.
Ketika Akta Perhimpunan Aman dibentangkan sendiri oleh PM pada November 2011, wajah-wajah pembangkang yang ada di Stadium Merdeka Sabtu lepaslah yang bertindak keluar Dewan Rakyat kerana membantah akta tersebut.
Hari ini siapa yang mendapat nikmat daripada akta tersebut ?
Siapa yang bebas berceramah siang malam dan berhimpun tanpa permit polis.
Itulah wajah-wajah hipokrit pemimpin pembangkang. Dulu mereka yang bantah dan keluar dewan sehingga ada yang mengugut untuk membawa akta itu ke mahkamah. Hari ini mereka tanpa segan silu menggunakan kemudahan akta tersebut.
Perhimpunan Sabtu lepas juga menunjukkan kepada masyarakat bahawa jika setiap ruang undang-undang yang ada serta pematuhan peraturan yang dikenakan pihak berkuasa dipatuhi, tidak ada sebab untuk pihak berkuasa bertindak.
Seperti yang kita sedia maklum dalam perhimpunan yang lepas-lepas mereka tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa, dan itulah yang menyebabkan terjadinya ‘peperangan’ antara pihak berkuasa dan mereka yang menyertai perhimpunan.
Penulis mengambil contoh apa yang terjadi semasa bersih 3 kerana penulis turut berada di celah-celah penyokong pembangkang ketika itu sejak awal pagi sehinggalah pihak polis menyembur gas pemedih mata.
Umum mengetahui Dataran Merdeka adalah tempat larangan semasa perhimpunan itu diadakan. Perintah mahkamah juga telah dikeluarkan. Pada hari kejadian langsung tidak ada kekerasan atau apa-apa tindakan dari pihak polis walaupun ramai peserta yang menghalang lalu lintas dan cubaan melakukan provokasi terhadap anggota polis.
Keadaan mula menjadi kacau bilau ketika peserta beransur-ansur bersurai dan Anwar Ibrahim serta Azmin Ali mengarahkan peserta demo merempuh hadangan polis untuk masuk ke Dataran Merdeka.
Disitulah mula menjadi kacau bilau dan huru-hara yang menyebabkan polis bertindak.
Itu yang mereka mahukan sebenarnya. Mereka memang mahukan berlaku huru-hara kerana mahu menarik perhatian dunia untuk memberi gambaran Kerajaan Malaysia adalah sebuah kerajaan yang zalim. Modal itu akan digunakan berpanjangan untuk menarik simpati dari pengundi.
Jika mereka mengikut peraturan yang ditetapkan tidak ada alasan untuk pihak berkuasa bertindak. Sabtu lepas adalah bukti yang menjadi contoh buat selama-lamanya bahawa polis di Malaysia tidaklah sezalim yang mereka gambarkan selama ini. Yang zalim dan yang bodoh adalah mereka kerana selama ini tidak mengikut peraturan.